Tuesday, 10 May 2011

Sekolah Remaja Hamil Penuh (Berjaya atau Gagal?)

JASIN: Sejak ditubuhkan pada awal September 2010, Sekolah Harapan dan Rumah Harapan (SHRH) Melaka sudah menerima 49 remaja hamil dan bilangannya dijangka meningkat kerana permohonan terus bertambah.

Pengerusi Lembaga SHRH, Datuk Ab Rahaman Ab Karim berkata, sepanjang tempoh itu, 28 bayi dilahirkan dengan semua diambil oleh keluarga ibu mereka.
Katanya, sehingga kini, 35 remaja menghuni rumah kebajikan berkenaan dengan sebahagiannya sudah melahirkan anak, manakala bakinya sedang menunggu masa untuk bersalin.

Mereka datang dari seluruh negara dan berusia antara 14 hingga 18 tahun, iaitu 14 dari Johor, masing-masing lapan dari Melaka dan Pahang, masing-masing lima dari Negeri Sembilan dan Kelantan, Terengganu (3), Kuala Lumpur (2) dan masing-masing seorang dari Selangor; Perak dan Sarawak.

Ab Rahaman berkata, setakat ini, 15 orang dalam senarai menunggu untuk memasuki rumah kebajikan berkenaan berikutan jumlah penghuni pada masa ini sudah mencapai bilangan maksimum.

“Kita minta mereka bersabar kerana kerajaan negeri mungkin menimbang untuk menambah kapasiti dan kemudahan sekolah itu, selain bercadang meningkatkan penerimaan penghuni sehingga 50 orang pada satu masa,” katanya.
Ab Rahaman berkata, tahun ini, kos mengurus dan pembangunan sekolah itu dijangka membabitkan kira-kira RM1.1 juta berbanding RM547,171 tahun lalu.

SHRH terletak di Jalan Pegawai dan beroperasi dari jam 8 pagi hingga jam 4 petang di bangunan lama milik Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) dengan kos baik pulih RM100,000 dan mempunyai empat kelas, masing-masing sebuah bilik komputer, bilik mesyuarat serta pejabat pentadbiran.

Orang ramai ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi Ketua Pegawai Penguat Kuasa Agama JAIM, Rahimin Bani di talian 019-6671564 atau 06-2881534.

 SEKOLAH Harapan dan Rumah Harapan, Jasin,  memberi perlindungan kepada remaja hamil.
SEKOLAH Harapan dan Rumah Harapan, Jasin, memberi perlindungan kepada remaja hamil.


Respon KAWAN : Sedikit persoalan yang ingin Pihak KAWAN lontarkan. banggakah kita dengan penuhnya Rumah sebegini? Bukan niat untuk menghalang penubuhan sekolah sebegini. Tetapi hakikatnya situasi di Malaysia amnya lebih kepada merawat sambil mengabaikan pencegahan yang konsisten. Tidak salah andai kita berusaha merawat. tetapi lebih molek andai langkah pencegahan turut dilaksanakan. Bagaimana ingin melaksanakan? Kembali lah berpegang dengan Al Quran dan As Sunnah agar kita tidak tersesat seperti mana yang dijanjikan oleh Baginda SAW di dalam khutbah terakhirnya.  Bersama kita mendidik rakyat Malaysia beracukan Al Quran dan As Sunnah.

Wallahualam..

Wednesday, 27 April 2011

Membaca : Dimana pengamalannya?

Bagaimana caranya untuk mengetahui sejarah perjuangan kemerdekaan negara? Bagaimana caranya untuk mengetahui tentang perkahwinan diraja Prince Wiliam dan Kate Middleton? Bagaimana untuk mengetahui tentang kisah Ashabul Kahfi? Bagaimana ingin mengetahui Alexender adalah Zulkarnain atau bukan? Bagaimana ingin mengetahui siapa yang akan berentap di final Liga Juara-Juara Eropah 2011?


Sebelum menjawab persoalan di atas pihak  KAWAN mengucapkan tahniah kepada seluruh rakyat malaysia yang sudah mahupun bercadang untuk menjejakkan kaki di bumi PWTC sempena KLIBF’ 2011. Membaca. Satu perkataan yang dapat menjawab semua persoalan yang ditimbulkan di atas. Sebut sahaja tentang apa yang kita ingin tahu. Semuanya mampu diketahui dengan amalan MEMBACA. Amalan ini amat sinonim dengan kehidupan masyarakat Malaysia kini. Jika dahulu begitu ramai rakyat Malaysia yang buta huruf namun kini tidak lagi. Memetik kata-kata Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Hasan Malek ketika merasmikan Hari Literasi Luar Bandar Peringkat Kebangsaan di Tawau Disember lalu :

“Kajian (terbaru) yang dijalankan oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) menunjukan bahawa pada masa ini Malaysia telah mencapai 96 peratus celik huruf di kalangan orang dewasa,”

96 peratus bukan satu angka yang kecil. Tapi persoalan yang  pihak KAWAN ingin lontarkan adakah 96 peratus yang dikatakan boleh membaca itu mengamalkan budaya membaca? Pihak KAWAN merasakan bahawa relatif antara dua golongan ini adalah sangat jauh. Budaya membaca ini ditenggelamkan dengan aktiviti harian kita yang lain. Kita lebih gemar menjurus kepada aktiviti yang menghiburkan berbanding dengan mendapatkan mutiara-mutiara ilmu yang bermanfaat daripada aktiviti membaca.

Mari kita kembali menginsafi diri dengan menghayatai wahyu pertama yang diturunkan Allah swt yang bermaksud :

Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu Yang menciptakan
(Al ‘Alaq : 1)

Perkara pertama yang  diturunkan adalah arahan membaca. Sudah jelas di sini tentang peri pentingnya amalan membaca ini di dalam agama islam itu sendiri. Maka masihkah kita masih berlengah-lengah dari melakukan perkara yang paling awal disarankan didalam agama?

Oleh itu Pihak KAWAN menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia untuk semarakkan budaya membaca dalam diri masing-masing. Kepada yang sudah bergelar ibu mahupun bapa jangan lupa untuk menanamkan sikap suka membaca dalam diri anak-anak yang semestinya haus akan ilmu pengetahuan. Dikesempatan ini Pihak KAWAN titipkan 2 rangkap pantun untuk tatapan anda yang sudi membaca artikel ini sehingga ke titik penghujung.

Mekar sejambak bunga gubahan,
Jatuh sekuntum di atas peti,
Membaca itu suruhan Tuhan,
Al-alaq diturun menjadi bukti
.

Pohon pedada di dalam taman,
Jadi idaman si anak rusa,
Marilah anakanda marilah teman,
Kita membaca sepanjang masa.

  
KAWAN menyeru kita semua amalkan budaya membaca

Wallahualam...


Tuesday, 29 March 2011

Isu Kitab Injil: Dialog Boleh Menyelesaikan.

Terlalu banyak isu dan pertembungan antara Agama Kristian dan Agama Islam di Malaysia. Bahkan dengan agama-agama lain di Malaysia juga begitu, seringkali isu dan perbezaan antara agama dianggap sebagai isu sensitif yang tidak perlu dibincangkan secara terbuka. 

Saya bersetuju bahawa isu ini adalah isu sensitif, jika tidak ditangani secara baik dan berkesan, hanya akan menimbulkan konflik yang lebih teruk dan berpanjangan. Namun, kita juga perlu bersetuju, konflik perlu ditangani dengan komunikasi dan interaksi yang berkesan.

Ironinya, isu kalimah Allah, juga isu cetakan bible dalam Bahasa Melayu sudah menjadi isu bualan rakyat. Ianya sudah diketahui umum dan sudah ramai yang mempunyai pendirian yang tersendiri mengenai hal ini. Malaysia sebagai sebuah negara Demokrasi dan sangat menjaga baik Hak Asasi Manusia, menerusi perlembagaannya sangat menjamin kebebasan rakyat untuk mempunyai pandangan dan bebas mengamalkan kepercayaan masing-masing di mana Islam diletakkan sebagai agama rasmi perlembagaan Malaysia.

Maka, sudah semestinya, kita perlu meraikan perbezaan dan kepelbagaian pandangan ini. Maka interaksi dan komunikasi yang berkesan akan dapat memelihara hubungan baik antara kaum dan agama bila masing-masing bebas memberi dan menerima pandangan masing-masing. Berdialog, selain untuk mencari kebenaran, merupakan jalan yang terbaik untuk mencari penyelesaian. Kita bukan ketandusan kebenaran, kerana yang benar itu sudah sekian lama terang, jelas dan tersuluh, namun masing-masing dengan kebenaran masing-masing dan tidak pernah terfikir untuk "hidup" bersama sekalipun dalam perbezaan kebenaran.

Agama Islam merupakan ajaran yang benar, merupakan ajaran yang menekankan aspek toleransi dalam hubungan antara agama, dan hormat-menghormati di kalangan anggota masyarakat tanpa mengira sempadan usia, harta dan kedudukan. Malah, Islam mengajar umatnya supaya memimpin menggunakan pengaruh bukan semata-mata kuasa. 

Memimpin menggunakan pengaruh, bermakna aspek utama dan terpenting dalam menjalankan amanah kepimpinan, ialah pendidikan kepada rakyat dan orang bawahan. Pendidikan yang berkesan mencakupi aspek peningkatan dan penguasaan ilmu, kebertanggungjawaban dan komitmen dalam setiap tindakan, dan juga penekanan dari segi akhlak, penampilan dan integriti. 

Rakyat yang maju dan bertamadun, ialah rakyat yang berpendidikan tinggi. Matang dan rasional dalam membuat pertimbangan, komited dan bertanggungjawab dalam melaksanakan keputusan.

Islam, satu-satunya agama yang dari awal lagi menyatakan hukum secara jelas terhadap mereka yang murtad. Begitu juga Islam, secara jelas menyatakan bahawa tiada paksaan dalam beragama. Satu-satunya agama yang terpelihara dari segi sumber rujukan utama perlembagaan penganutnya, ialah agama Islam. Bahasa Arab yang digunakan dalam penulisan Al-Quran, terpelihara dengan penurunan Al-Quran itu sendiri. Kaedah Bahasa Arab dapat difahami dengan baik menggunakan Al-Quran. Sehingga ke saat ini, tiada buku yang mampu menandingi Al-Quran dari segi isi mahupun kaedah penyampaian dan penulisan.

Sejarah juga menunjukkan usaha penulisan Al-Quran itu sendiri dipelihara dan dijaga sebaiknya oleh Allah sehingga tiada satu pun kecacatan dan kelompangan, maka Al-Quran yang digunakan di Malaysia, adalah Al-Quran yang sama digunakan diseluruh dunia semenjak kedatangan Nabi Muhammad SAW.

Berbeza dengan kitab bible yang ditulis oleh penganut agama kristian. Kepelbagaian dalam penulisan dan amalan pengikutnya bukan sekadar isi dna penyampaian, malah doktrin utama mengenai akidah orang kristian juga berbeza. Ada yang berpegang bahawa tuhan bagi kristian hanyalah Tuhan yang Esa, (ada yang merujuknya sebagai Allah), tetapi ada juga yang berpegang kepada konsep Trinity (iaitu Tiga Tuhan dalam satu). Namun bagi penganut agama kristian, kedua-kedua konsep ini tetap membawa kepada Tuhan yang satu walaupun jalan penceritaan dan pemahamannya berbeza. Mereka mengatakan Tuhan mereka juga ialah Allah. 

Hal ini, sangat berbeza bagi umat Islam, Tiada Tuhan Yang Layak Disembah Melainkan Allah yang Maha Esa, tiada sekutu baginya. Dialah Allah, Tuhan Yang Maha Esa, tidak beranak dan tidak pula diperanakkan. Tidak ada yang menyerupainya dan setara dengannya.

Perbezaan inilah yang bakal menimbulkan konflik sekiranya Bible edisi Bahasa Melayu tersebut yang dikatakan menggunakan kalimah Allah sebagai merujuk kepada Tuhan bagi agama kristian. Maka, Kerajaan memutuskan untuk menarik semula penahanan 35 000 kitab bible tersebut dengan dua syarat iaitu diletakkan cop "Untuk kegunaan penganut agama Kristian Sahaja", dan diletakkan nombor siri supaya tidak berlaku ketirisan.

Presiden Iran, Ahmadinejad memegang Kitab Injil dan Alquran
ketika di sebuah persidangan PBB.
Syarat ini pula dilihat sebagai satu penghinaan dan sekatan bagi penganut agama kristian. Seorang kristian, ketika mengulas mengenai isu ini berkata, "Orang Islam yang bersalah kerana tidak menekankan aspek akidah kepada penganutnya,". Ada benarnya pendapat ini, maka ianya tidak boleh dipandang sebelah mata.

Kekurangan utama kita ialah ilmu dan juga kebolehan untuk toleransi, sama ada bagi penganut agama kristian yang minoriti di Malaysia, juga kepada Umat Islam yang majoriti, tetapi lemah di Malaysia.

Saya terpaksa mengaku, kerana inilah hakikat yang berlaku. Usaha pemantapan akidah umat Islam perlu dijalankan terus, kerana memimpin mestilah menggunakan pengaruh, tidak semata-mata kuasa. Tindakan yang diambil oleh kerajaan itu, bagi saya ada relevannya, dan saya sokong. Namun, pendidikan dan penerangan mengenai isu ini juga perlu dipergiatkan. Agar bumi ini, udara ini, tanah dan segala hasilnya ini, dapat kita nikmati dengan baik, harmoni, dan dengan rukun dan damai antara warganya...

Objektif utama dialog, selain mencari kebenaran, mencari jalan keluar daripada kekusutan, dan menjernihkan kembali keadaan. Setidak-tidaknya, kata akhir yang mampu kita capai ialah bersetuju untuk tidak bersetuju...


Sukarelawan Pendidikan Rakyat, KAWAN (NGO)
Bangi.

Wednesday, 23 March 2011

Selamat Datang Ke Dunia Baru Malaysia

Sukarelawan Pendidikan Rakyat

AlhamduliLlah, dengan izin dan inayahNya maka Sukarelawan Pendidikan Rakyat (KAWAN) telah secara rasminya ditubuhkan sebagai Badan Bukan Kerajaan (NGO) pada 12 Februari 2011 yang lepas. Bertujuan mengajak masyarakat Malaysia kea rah kebaikan dan sama-sama menjauhi perkara-perkara yang tidak sihat, KAWAN dengan slogannya “Agama Itu Nasihat” ditubuhkan dan dilancarkan serentak di seluruh Malaysia.

Terbuka kepada semua lapisan masyarakat, tanpa mengira latar belakang social, budaya, akademik, dan taraf ekonomi, diharapkan penubuhan KAWAN dapat membawa satu dimensi baru kepada ketamadunan insane di Malaysia khususnya.

Umum mengetahui, bahawa keadaan dunia pada ketika ini semakin tenat, lambakan masalah jenayah, kebejatan sosial, keruncingan ekonomi menjejaskan keamanan dan keharmonian hidup rakyat di Negara ini. Maka KAWAN, sebagai badan bebas tampil untuk memberi dan menjadi solusi kepada masalah yang melanda untuk sama-sama kita membentuk Dunia Yang Lebih Baik, untuk generasi kita lebih-lebih lagi generasi masa depan yang bakal mewarisi dunia yang akan kita tinggalkan.

Ayuh, kita bergerak bersama-sama, memberi dan menerima, berganding bahu, tolong-menolong, mengamalkan budaya dan cara hidup yang positif dan sihat, kea rah Dunia Yang Lebih Baik.

MEMBERI DAN MENERIMA

Memberi tidak menjadikan kita lebih baik daripada yang lain, menerima juga tidak bermakna diri kita kurang berharga berbanding orang lain. Tetapi, inilah namanya kehidupan bermasyarakat. Hidupnya sesebuah komuniti apabila adanya interaksi di kalangan ahlinya. Interaksi yang bebas member dan menerima tanpa prejudis dan prasangka, adalah interaksi yang baik seperti mana hubungan binaan dalam sesebuah bangunan yang saling memperkukuh antara satu sama lain.

Hidup ini juga ibarat putaran roda, terkadang kita di atas, adakalanya pula kita di bawah. Maka tatkala berada di atas, memberilah dengan sebaiknya agar ketika kita di bawah, kita tidak dilupakan dan menerima pula sebaiknya.

APA SUMBANGAN YANG ANDA BOLEH BERIKAN?

Pendidikan rakyat, dalam manifestasi konsep “Memberi dan Menerima” memerlukan partisipasi oleh semua pihak. Setiap daripada kita merupakan agen yang akan membawa perubahan, bermula dengan perubahan dalam diri, keluarga, masyarakat, negara dan dunia. Setiap dari kita diplih dan dimuliakan oleh Allah sebagai Manusia, bertanggungjawab ke atas sekalian makhluk, terutama manusia yang menjadi rakan kongsi kehidupan kita di dunia. Anda telah melakukan pilihan yang tepat dengan berkunjung ke blog rasmi KAWAN ini, teruskan berkunjung untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai pergerakan dan aktiviti KAWAN di seluruh Malaysia.