Sukarelawan Pendidikan Rakyat
AlhamduliLlah, dengan izin dan inayahNya maka Sukarelawan Pendidikan Rakyat (KAWAN) telah secara rasminya ditubuhkan sebagai Badan Bukan Kerajaan (NGO) pada 12 Februari 2011 yang lepas. Bertujuan mengajak masyarakat Malaysia kea rah kebaikan dan sama-sama menjauhi perkara-perkara yang tidak sihat, KAWAN dengan slogannya “Agama Itu Nasihat” ditubuhkan dan dilancarkan serentak di seluruh Malaysia.
Terbuka kepada semua lapisan masyarakat, tanpa mengira latar belakang social, budaya, akademik, dan taraf ekonomi, diharapkan penubuhan KAWAN dapat membawa satu dimensi baru kepada ketamadunan insane di Malaysia khususnya.
Umum mengetahui, bahawa keadaan dunia pada ketika ini semakin tenat, lambakan masalah jenayah, kebejatan sosial, keruncingan ekonomi menjejaskan keamanan dan keharmonian hidup rakyat di Negara ini. Maka KAWAN, sebagai badan bebas tampil untuk memberi dan menjadi solusi kepada masalah yang melanda untuk sama-sama kita membentuk Dunia Yang Lebih Baik, untuk generasi kita lebih-lebih lagi generasi masa depan yang bakal mewarisi dunia yang akan kita tinggalkan.
Ayuh, kita bergerak bersama-sama, memberi dan menerima, berganding bahu, tolong-menolong, mengamalkan budaya dan cara hidup yang positif dan sihat, kea rah Dunia Yang Lebih Baik.
MEMBERI DAN MENERIMA
Memberi tidak menjadikan kita lebih baik daripada yang lain, menerima juga tidak bermakna diri kita kurang berharga berbanding orang lain. Tetapi, inilah namanya kehidupan bermasyarakat. Hidupnya sesebuah komuniti apabila adanya interaksi di kalangan ahlinya. Interaksi yang bebas member dan menerima tanpa prejudis dan prasangka, adalah interaksi yang baik seperti mana hubungan binaan dalam sesebuah bangunan yang saling memperkukuh antara satu sama lain.
Hidup ini juga ibarat putaran roda, terkadang kita di atas, adakalanya pula kita di bawah. Maka tatkala berada di atas, memberilah dengan sebaiknya agar ketika kita di bawah, kita tidak dilupakan dan menerima pula sebaiknya.
APA SUMBANGAN YANG ANDA BOLEH BERIKAN?
Pendidikan rakyat, dalam manifestasi konsep “Memberi dan Menerima” memerlukan partisipasi oleh semua pihak. Setiap daripada kita merupakan agen yang akan membawa perubahan, bermula dengan perubahan dalam diri, keluarga, masyarakat, negara dan dunia. Setiap dari kita diplih dan dimuliakan oleh Allah sebagai Manusia, bertanggungjawab ke atas sekalian makhluk, terutama manusia yang menjadi rakan kongsi kehidupan kita di dunia. Anda telah melakukan pilihan yang tepat dengan berkunjung ke blog rasmi KAWAN ini, teruskan berkunjung untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai pergerakan dan aktiviti KAWAN di seluruh Malaysia.
No comments:
Post a Comment