Sebelum menjawab persoalan di atas pihak KAWAN mengucapkan tahniah kepada seluruh rakyat malaysia yang sudah mahupun bercadang untuk menjejakkan kaki di bumi PWTC sempena KLIBF’ 2011. Membaca. Satu perkataan yang dapat menjawab semua persoalan yang ditimbulkan di atas. Sebut sahaja tentang apa yang kita ingin tahu. Semuanya mampu diketahui dengan amalan MEMBACA. Amalan ini amat sinonim dengan kehidupan masyarakat Malaysia kini. Jika dahulu begitu ramai rakyat Malaysia yang buta huruf namun kini tidak lagi. Memetik kata-kata Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Hasan Malek ketika merasmikan Hari Literasi Luar Bandar Peringkat Kebangsaan di Tawau Disember lalu :
“Kajian (terbaru) yang dijalankan oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) menunjukan bahawa pada masa ini Malaysia telah mencapai 96 peratus celik huruf di kalangan orang dewasa,”
96 peratus bukan satu angka yang kecil. Tapi persoalan yang pihak KAWAN ingin lontarkan adakah 96 peratus yang dikatakan boleh membaca itu mengamalkan budaya membaca? Pihak KAWAN merasakan bahawa relatif antara dua golongan ini adalah sangat jauh. Budaya membaca ini ditenggelamkan dengan aktiviti harian kita yang lain. Kita lebih gemar menjurus kepada aktiviti yang menghiburkan berbanding dengan mendapatkan mutiara-mutiara ilmu yang bermanfaat daripada aktiviti membaca.
Mari kita kembali menginsafi diri dengan menghayatai wahyu pertama yang diturunkan Allah swt yang bermaksud :
Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu Yang menciptakan
(Al ‘Alaq : 1)
Perkara pertama yang diturunkan adalah arahan membaca. Sudah jelas di sini tentang peri pentingnya amalan membaca ini di dalam agama islam itu sendiri. Maka masihkah kita masih berlengah-lengah dari melakukan perkara yang paling awal disarankan didalam agama?
Oleh itu Pihak KAWAN menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia untuk semarakkan budaya membaca dalam diri masing-masing. Kepada yang sudah bergelar ibu mahupun bapa jangan lupa untuk menanamkan sikap suka membaca dalam diri anak-anak yang semestinya haus akan ilmu pengetahuan. Dikesempatan ini Pihak KAWAN titipkan 2 rangkap pantun untuk tatapan anda yang sudi membaca artikel ini sehingga ke titik penghujung.
Mekar sejambak bunga gubahan,
Jatuh sekuntum di atas peti,
Membaca itu suruhan Tuhan,
Al-alaq diturun menjadi bukti.
Jatuh sekuntum di atas peti,
Membaca itu suruhan Tuhan,
Al-alaq diturun menjadi bukti.
Pohon pedada di dalam taman,
Jadi idaman si anak rusa,
Marilah anakanda marilah teman,
Kita membaca sepanjang masa.
Jadi idaman si anak rusa,
Marilah anakanda marilah teman,
Kita membaca sepanjang masa.
KAWAN menyeru kita semua amalkan budaya membaca
Wallahualam...
No comments:
Post a Comment