Tuesday 29 March 2011

Isu Kitab Injil: Dialog Boleh Menyelesaikan.

Terlalu banyak isu dan pertembungan antara Agama Kristian dan Agama Islam di Malaysia. Bahkan dengan agama-agama lain di Malaysia juga begitu, seringkali isu dan perbezaan antara agama dianggap sebagai isu sensitif yang tidak perlu dibincangkan secara terbuka. 

Saya bersetuju bahawa isu ini adalah isu sensitif, jika tidak ditangani secara baik dan berkesan, hanya akan menimbulkan konflik yang lebih teruk dan berpanjangan. Namun, kita juga perlu bersetuju, konflik perlu ditangani dengan komunikasi dan interaksi yang berkesan.

Ironinya, isu kalimah Allah, juga isu cetakan bible dalam Bahasa Melayu sudah menjadi isu bualan rakyat. Ianya sudah diketahui umum dan sudah ramai yang mempunyai pendirian yang tersendiri mengenai hal ini. Malaysia sebagai sebuah negara Demokrasi dan sangat menjaga baik Hak Asasi Manusia, menerusi perlembagaannya sangat menjamin kebebasan rakyat untuk mempunyai pandangan dan bebas mengamalkan kepercayaan masing-masing di mana Islam diletakkan sebagai agama rasmi perlembagaan Malaysia.

Maka, sudah semestinya, kita perlu meraikan perbezaan dan kepelbagaian pandangan ini. Maka interaksi dan komunikasi yang berkesan akan dapat memelihara hubungan baik antara kaum dan agama bila masing-masing bebas memberi dan menerima pandangan masing-masing. Berdialog, selain untuk mencari kebenaran, merupakan jalan yang terbaik untuk mencari penyelesaian. Kita bukan ketandusan kebenaran, kerana yang benar itu sudah sekian lama terang, jelas dan tersuluh, namun masing-masing dengan kebenaran masing-masing dan tidak pernah terfikir untuk "hidup" bersama sekalipun dalam perbezaan kebenaran.

Agama Islam merupakan ajaran yang benar, merupakan ajaran yang menekankan aspek toleransi dalam hubungan antara agama, dan hormat-menghormati di kalangan anggota masyarakat tanpa mengira sempadan usia, harta dan kedudukan. Malah, Islam mengajar umatnya supaya memimpin menggunakan pengaruh bukan semata-mata kuasa. 

Memimpin menggunakan pengaruh, bermakna aspek utama dan terpenting dalam menjalankan amanah kepimpinan, ialah pendidikan kepada rakyat dan orang bawahan. Pendidikan yang berkesan mencakupi aspek peningkatan dan penguasaan ilmu, kebertanggungjawaban dan komitmen dalam setiap tindakan, dan juga penekanan dari segi akhlak, penampilan dan integriti. 

Rakyat yang maju dan bertamadun, ialah rakyat yang berpendidikan tinggi. Matang dan rasional dalam membuat pertimbangan, komited dan bertanggungjawab dalam melaksanakan keputusan.

Islam, satu-satunya agama yang dari awal lagi menyatakan hukum secara jelas terhadap mereka yang murtad. Begitu juga Islam, secara jelas menyatakan bahawa tiada paksaan dalam beragama. Satu-satunya agama yang terpelihara dari segi sumber rujukan utama perlembagaan penganutnya, ialah agama Islam. Bahasa Arab yang digunakan dalam penulisan Al-Quran, terpelihara dengan penurunan Al-Quran itu sendiri. Kaedah Bahasa Arab dapat difahami dengan baik menggunakan Al-Quran. Sehingga ke saat ini, tiada buku yang mampu menandingi Al-Quran dari segi isi mahupun kaedah penyampaian dan penulisan.

Sejarah juga menunjukkan usaha penulisan Al-Quran itu sendiri dipelihara dan dijaga sebaiknya oleh Allah sehingga tiada satu pun kecacatan dan kelompangan, maka Al-Quran yang digunakan di Malaysia, adalah Al-Quran yang sama digunakan diseluruh dunia semenjak kedatangan Nabi Muhammad SAW.

Berbeza dengan kitab bible yang ditulis oleh penganut agama kristian. Kepelbagaian dalam penulisan dan amalan pengikutnya bukan sekadar isi dna penyampaian, malah doktrin utama mengenai akidah orang kristian juga berbeza. Ada yang berpegang bahawa tuhan bagi kristian hanyalah Tuhan yang Esa, (ada yang merujuknya sebagai Allah), tetapi ada juga yang berpegang kepada konsep Trinity (iaitu Tiga Tuhan dalam satu). Namun bagi penganut agama kristian, kedua-kedua konsep ini tetap membawa kepada Tuhan yang satu walaupun jalan penceritaan dan pemahamannya berbeza. Mereka mengatakan Tuhan mereka juga ialah Allah. 

Hal ini, sangat berbeza bagi umat Islam, Tiada Tuhan Yang Layak Disembah Melainkan Allah yang Maha Esa, tiada sekutu baginya. Dialah Allah, Tuhan Yang Maha Esa, tidak beranak dan tidak pula diperanakkan. Tidak ada yang menyerupainya dan setara dengannya.

Perbezaan inilah yang bakal menimbulkan konflik sekiranya Bible edisi Bahasa Melayu tersebut yang dikatakan menggunakan kalimah Allah sebagai merujuk kepada Tuhan bagi agama kristian. Maka, Kerajaan memutuskan untuk menarik semula penahanan 35 000 kitab bible tersebut dengan dua syarat iaitu diletakkan cop "Untuk kegunaan penganut agama Kristian Sahaja", dan diletakkan nombor siri supaya tidak berlaku ketirisan.

Presiden Iran, Ahmadinejad memegang Kitab Injil dan Alquran
ketika di sebuah persidangan PBB.
Syarat ini pula dilihat sebagai satu penghinaan dan sekatan bagi penganut agama kristian. Seorang kristian, ketika mengulas mengenai isu ini berkata, "Orang Islam yang bersalah kerana tidak menekankan aspek akidah kepada penganutnya,". Ada benarnya pendapat ini, maka ianya tidak boleh dipandang sebelah mata.

Kekurangan utama kita ialah ilmu dan juga kebolehan untuk toleransi, sama ada bagi penganut agama kristian yang minoriti di Malaysia, juga kepada Umat Islam yang majoriti, tetapi lemah di Malaysia.

Saya terpaksa mengaku, kerana inilah hakikat yang berlaku. Usaha pemantapan akidah umat Islam perlu dijalankan terus, kerana memimpin mestilah menggunakan pengaruh, tidak semata-mata kuasa. Tindakan yang diambil oleh kerajaan itu, bagi saya ada relevannya, dan saya sokong. Namun, pendidikan dan penerangan mengenai isu ini juga perlu dipergiatkan. Agar bumi ini, udara ini, tanah dan segala hasilnya ini, dapat kita nikmati dengan baik, harmoni, dan dengan rukun dan damai antara warganya...

Objektif utama dialog, selain mencari kebenaran, mencari jalan keluar daripada kekusutan, dan menjernihkan kembali keadaan. Setidak-tidaknya, kata akhir yang mampu kita capai ialah bersetuju untuk tidak bersetuju...


Sukarelawan Pendidikan Rakyat, KAWAN (NGO)
Bangi.

Wednesday 23 March 2011

Selamat Datang Ke Dunia Baru Malaysia

Sukarelawan Pendidikan Rakyat

AlhamduliLlah, dengan izin dan inayahNya maka Sukarelawan Pendidikan Rakyat (KAWAN) telah secara rasminya ditubuhkan sebagai Badan Bukan Kerajaan (NGO) pada 12 Februari 2011 yang lepas. Bertujuan mengajak masyarakat Malaysia kea rah kebaikan dan sama-sama menjauhi perkara-perkara yang tidak sihat, KAWAN dengan slogannya “Agama Itu Nasihat” ditubuhkan dan dilancarkan serentak di seluruh Malaysia.

Terbuka kepada semua lapisan masyarakat, tanpa mengira latar belakang social, budaya, akademik, dan taraf ekonomi, diharapkan penubuhan KAWAN dapat membawa satu dimensi baru kepada ketamadunan insane di Malaysia khususnya.

Umum mengetahui, bahawa keadaan dunia pada ketika ini semakin tenat, lambakan masalah jenayah, kebejatan sosial, keruncingan ekonomi menjejaskan keamanan dan keharmonian hidup rakyat di Negara ini. Maka KAWAN, sebagai badan bebas tampil untuk memberi dan menjadi solusi kepada masalah yang melanda untuk sama-sama kita membentuk Dunia Yang Lebih Baik, untuk generasi kita lebih-lebih lagi generasi masa depan yang bakal mewarisi dunia yang akan kita tinggalkan.

Ayuh, kita bergerak bersama-sama, memberi dan menerima, berganding bahu, tolong-menolong, mengamalkan budaya dan cara hidup yang positif dan sihat, kea rah Dunia Yang Lebih Baik.

MEMBERI DAN MENERIMA

Memberi tidak menjadikan kita lebih baik daripada yang lain, menerima juga tidak bermakna diri kita kurang berharga berbanding orang lain. Tetapi, inilah namanya kehidupan bermasyarakat. Hidupnya sesebuah komuniti apabila adanya interaksi di kalangan ahlinya. Interaksi yang bebas member dan menerima tanpa prejudis dan prasangka, adalah interaksi yang baik seperti mana hubungan binaan dalam sesebuah bangunan yang saling memperkukuh antara satu sama lain.

Hidup ini juga ibarat putaran roda, terkadang kita di atas, adakalanya pula kita di bawah. Maka tatkala berada di atas, memberilah dengan sebaiknya agar ketika kita di bawah, kita tidak dilupakan dan menerima pula sebaiknya.

APA SUMBANGAN YANG ANDA BOLEH BERIKAN?

Pendidikan rakyat, dalam manifestasi konsep “Memberi dan Menerima” memerlukan partisipasi oleh semua pihak. Setiap daripada kita merupakan agen yang akan membawa perubahan, bermula dengan perubahan dalam diri, keluarga, masyarakat, negara dan dunia. Setiap dari kita diplih dan dimuliakan oleh Allah sebagai Manusia, bertanggungjawab ke atas sekalian makhluk, terutama manusia yang menjadi rakan kongsi kehidupan kita di dunia. Anda telah melakukan pilihan yang tepat dengan berkunjung ke blog rasmi KAWAN ini, teruskan berkunjung untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai pergerakan dan aktiviti KAWAN di seluruh Malaysia.